NILAI, 2 Disember - Sejumlah 34,848 notis berkaitan kenderaan perdagangan barangan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga 29 November lepas.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, 1,389 daripada notis itu melibatkan kesalahan lebih muatan yang dikeluarkan menerusi Ops Perang Lebih Muatan.
Sembilan daripada kesalahan lebih muatan telah diambil tindakan sita bawah Seksyen 80(1) APAD 2010 dan dalam proses permohonan lucut hak daripada mahkamah.
"Matlamat kita untuk memastikan bahawa kenderaan-kenderaan ini membawa muatan mengikut peraturan. Kita dapati berlaku pematuhan dan pematuhan yang saya kira agak positif. Kebiasaannya dalam operasi sebelum ini, hampir 23 peratus daripada kenderaan yang diperiksa akan diberikan notis. Tetapi pada kali ini di Negeri Sembilan, sebanyak 19 peratus sahaja," katanya dalam sidang media di sini.
Sehingga kini, sebanyak 7,492 kenderaan perdagangan telah diperiksa dalam Ops Perang Lebih Muatan yang dilancarkan Oktober lepas di seluruh negara dijadual berakhir 31 Disember depan.