PUTRAJAYA, 31 Januari- Kementerian Luar Negeri komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Jepun menerusi rangka kerja Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi menjawab seruan mendesak rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, ini selaras dengan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 29 Januari, mengenai keperluan mendesak untuk mempercepatkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Bagi menyahut usaha ini, Malaysia akan turut serta dalam pembangunan semula infrastruktur penting, termasuk sebuah sekolah, hospital dan masjid, sebagai bukti komitmen bersama kerajaan, sektor swasta, dan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.
Kementerian Luar Negeri kini sedang menyelaras dengan Jepun bagi menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri CEAPAD Ke-4 (CEAPAD IV) di Malaysia pada tahun ini.
Inisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama bagi memastikan usaha pembangunan semula Palestin dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.
Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan usaha kumpulan ini dalam membangunkan semula Gaza.
Ini termasuk satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin disalurkan dengan lebih cekap, tersusun dan mampan untuk pembangunan jangka panjang.
Fokus utama CEAPAD IV akan merangkumi program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh, dan pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.
Bidang-bidang ini penting dalam memperkukuh institusi Palestin serta meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, sejajar dengan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri bagi Palestin.