fb fb fb fb fb

Kereta dinaiki empat sekawan terbabas, dua penuntut UTeM maut

Dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian/Foto Bomba

JASIN, 26 Disember - Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi cedera dalam nahas jalan raya di Kilometer (km) 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pada awal pagi tadi.

Mangsa masing-masing berusia 19 tahun dikenal pasti sebagai Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Ahmad Jamil Radzi, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis tempatan yang dinaiki empat pelajar UTeM.

“Pihak kami menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6.30 pagi. Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai terbabas ketika mereka cuba berhenti untuk menukar pemandu di susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh.

"Kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, dua mangsa yang cedera ialah pemandu, Nur Hanis Suraya Supiyan, dan seorang lagi penumpang belakang, Azwalidiya Azman, mengalami kecederaan di kaki dan luka ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Melaka," katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

GRACE AISYAH KEDAYAN