fb fb fb fb fb

Kerangka kebolehtanggungjawaban mudahkan usaha bantuan kemanusiaan dapatkan dana melalui agensi bawah ASEAN

(Datuk Seri Saifuddin berucap pada Majlis Sambutan Hari ASEAN yang ke-55
di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia)

PUCHONG, 8 Ogos- Satu perbincangan telah mula diadakan dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk mewujudkan kerangka kebolehtanggungjawaban, kearah usaha menangani isu dana membiayai misi bantuan kemanusiaan di kawasan bencana di rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan kerangka kebolehtanggungjawaban perlu diwujudkan bagi memudahkan sebarang usaha bantuan kemanusiaan mendapatkan dana daripada syarikat swasta tempatan atau antarabangsa dan penyumbang antarabangsa melalui agensi bawah ASEAN.

Contohnya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dan ASEAN Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT).

Katanya lagi, pembentukan kerangka itu juga antara yang sudah mula dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

(Datuk Seri Saifuddin berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN yang ke-55
di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia)

"Sekarang ini rakyat pun bertanya dan penyumbang pun bertanya apabila sejumlah wang dikumpul dan dibelanjakan, sejauh mana wang itu benar-benar dibelanjakan sampai kepada sasaran kita.

"Bukan nak membuat apa-apa tuduhan, tapi saya fikir kalau kita boleh ada kerangka itu ia akan memudahkan lagi kita mendapat dana," kata Saifuddin selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN yang ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Media Baharu