Kerangka AI dilaksana bagi menilai potensi penggunaan di Perak

IPOH, 28 Oktober – Satu kerangka pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang dilaksana sebagai langkah persediaan untuk menilai potensi dan kesesuaian penggunaan di negeri Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka pelaksanaan AI sedang disediakan oleh Digital Perak sebagai agensi pelaksana negeri.
  • Kerangka elemen AI dijangka siap pada November dan akan diikuti siri perundingan kedua.
  • Fokus awal ialah memilih platform AI yang sesuai dan elemen yang perlu diadaptasi di Perak.
  • Inisiatif bertujuan memanfaatkan potensi AI selaras pembangunan infrastruktur digital dan 5G.
  • Rancangan untuk luaskan pendekatan ke akar umbi melalui semua Pusat NADI jika dilaksanakan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, usaha itu kini di peringkat penyediaan kerangka strategik oleh Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) sebagai agensi pelaksana negeri.

“Kita akan ada siri perundingan kedua selepas siap kerangka elemen AI, tidak lama kita nak siap dan saya jangkakan pada November kita akan siap kerangka elemen AI.

“AI yang kita nak adaptasi di Perak ini pertama dulu platform apa kita nak guna, kemudian elemen yang sesuai dengan AI, jadi ini sedang disiapkan digital Perak”, katanya.

Jelas beliau, kerangka tersebut sebagai langkah untuk memastikan negeri berkenaan dapat memanfaatkan potensi teknologi AI, selaras dengan pembangunan infrastruktur digital termasuk pelaksanaan rangkaian 5G.

Beliau bercakap pada majlis Taklimat Belanjawan 2026 Bersama Komuniti MADANI dan Taklimat Internet Selamat Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan memperluaskan pendekatan itu ke peringkat akar umbi iaitu melalui semua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini, sekiranya kerangka AI itu dapat dilaksanakan.