KUALA LUMPUR, 23 Julai - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, termasuk pemberian tunai dan cuti khas, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat dalam setiap dasar yang digariskan.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, langkah seperti mengekalkan subsidi dan menangguhkan kenaikan kadar tol merupakan bukti usaha kerajaan mencari keseimbangan antara keperluan fiskal negara dengan tekanan kos sara hidup rakyat pelbagai lapisan.
"Langkah-langkah ini menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani beban semasa, sambil memastikan tidak berlaku gangguan besar terhadap kesejahteraan rakyat sama ada di bandar, luar bandar mahupun dalam kalangan kelas pertengahan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menyifatkan pendekatan berfasa yang dilaksanakan sebagai strategi yang membolehkan kerajaan menilai kesan setiap dasar secara menyeluruh, sekali gus membuka ruang kepada intervensi yang lebih peka dan berkesan pada masa hadapan.
"Yang penting, hubungan antara pemimpin dan rakyat mesti terus diperkukuh.
"Bila rakyat rasa mereka diberi keutamaan, barulah dasar kerajaan itu benar-benar bermakna," kata beliau.
Tambahnya, naratif kepimpinan hari ini tidak hanya tertumpu kepada pengurusan angka dan dasar semata-mata, tetapi turut menumpukan kepada penyelesaian berasaskan realiti hidup rakyat, khususnya berkaitan kos barangan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan keluarga.