fb fb fb fb fb

Kerajaan tubuh jawatankuasa kabinet tangani gangguan bekalan gula

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Jawatankuasa kabinet mengenai hala tuju bekalan gula dibentuk untuk merangka langkah proaktif dan menyeluruh bagi menangani kekurangan bekalan gula di pasaran dan memastikan kestabilan harga barangan tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayob berkata, langkah itu dibuat dengan mengambil kira krisis gula yang berlaku di Kelantan dan Terengganu 2 Mei lalu.

Penubuhan jawatankuasa yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas itu turut menggabungkan tiga kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.

Empat kementerian diberi tanggungjawab menganggotai jawatankuasa tersebut, selain KPDN, turut serta adalah Kementerian Kewangan, Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Menerusinya pelan strategik akan disediakan bagi memastikan krisis bekalan gula tidak berulang, malah, satu cadangan kertas kerja mengenai isu itu akan dibentangkan ke kabinet dalam tempoh sebulan.

"Saya rasa dengan jawatankuasa ini akan dapat akhirnya nanti mengeluarkan satu cadangan pada pihak kabinet juga. Kabinet juga yang akan memutuskan nanti dengan rakyat tidak akan Insya-Allah merasa akan menerima kesan daripada kenaikan harga bahan mentah gula ini dan rakyat akan terus dapat bekalan yang mencukupi dan tugas jawatankuasa ini bagi memastikan kecukupan bekalan gula dipasaran dan rakyat akan terus membayar harga gula ini dengan harga yang munasabah," kata Salahuddin di sini.

(Salahuddin ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu)

Mengulas lanjut beliau berpuas hati kerana krisis bekalan gula di kedua-dua negeri itu mampu ditangani dalam tempoh dua hari.

Difahamkan 60,000 tan metrik gula diperlukan di seluruh negara dalam tempoh sebulan.

Sebelum ini media melaporkan, bekalan gula di Kelantan dan Terengganu terputus sejak 22 April lepas sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga serta penduduk dan menurut KPDN, gangguan itu berpunca susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang ekoran cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun kedua-dua kilang telah kembali beroperasi pada 25 April dan Salahuddin pada 2 Mei lepas mengumumkan gangguan bekalan gula di Pantai Timur telah pulih.

Media Baharu