fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan tidak pinggirkan mana-mana negeri walaupun berbeza politik

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika hadir pada
Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV/ Foto BERNAMA) 

KOTA BHARU, 13 Mei - Kerajaan Perpaduan akan sentiasa berlaku adil dan tidak meminggirkan mana-mana negeri meskipun berbeza ideologi politik dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia dapat dilihat dengan pelbagai usaha yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk di Kelantan tahun ini seperti meningkatkan akses kemudahan perubatan kepada komuniti setempat dan mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti-fasiliti kesihatan sedia ada.
 
Ini merangkumi pelaksanaan projek membaik pulih dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh Kelantan seperti Bachok, Gua Musang, Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai yang melibatkan 38 fasiliti dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM9.3 juta ringgit.
 
Pada masa sama, kerajaan juga amat prihatin terhadap isu banjir yang sering membelenggu rakyat Kelantan dan penyelesaian yang ampuh perlu dirungkai bagi menoktahkan isu berkenaan.
 
Selain itu, pembinaan Jambatan Palekbang turut akan menjadi pencetus kepada pembangunan baharu di jajahan Tumpat dan merangsang lagi pembangunan sedia ada di Kota Bharu.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka
Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu/ Foto BERNAMA)

"Saya nak rekod pada tahun ini 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya, ini lah tahun di mana paling banyak projek diluluskan di Kelantan, jadi kalau saudara-saudara dengar pandangan di sebaliknya maknanya ia tidak mewakili fakta dan kebenaran,"

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
 
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
 
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengharapkan sokongan dan komitmen yang padu daripada seluruh rakyat Kelantan dalam merealisasikan Agenda Membangun Malaysia Madani.
 
Menurutnya, ia merupakan wadah bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan demi mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum.

Media Baharu