
PUTRAJAYA, 8 Januari– Kerajaan akan terus memantau situasi geopolitik global termasuk konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela untuk menilai potensi impak kepada ekonomi negara.
- Kerajaan terus memantau konflik AS-Venezuela untuk menilai impak kepada ekonomi negara.
- Kementerian Ekonomi sedang membuat penilaian terperinci mengenai implikasi dan kesan konflik.
- Fokus utama adalah memastikan pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun berjalan lancar.
- Asas pembangunan diperkukuh dengan keutamaan kepada kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan semasa masih dalam peringkat penilaian, dengan kebanyakan pihak meneliti implikasi serta kesannya.
“Namun bagi Kementerian Ekonomi, seperti yang saya nyatakan dalam ucapan tadi, fokus utama adalah untuk memastikan pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun negara berjalan dengan lancar, dan kita mesti menekankan aspek pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 dan Perhimpunan Bulan Januari Tahun 2026 bagi Kementerian Ekonomi di sini.
Tambah beliau, isu geopolitik merupakan antara cabaran besar yang perlu dihadapi pada tahun 2026.
Bagaimanapun, asas pembangunan negara perlu terus diperkukuh dengan memberi keutamaan kepada kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13.