fb fb fb fb fb

Kerajaan terus komited bangunkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Kerajaan terus komited membangunkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan secara seimbang serta inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dari sudut urbanisasi, tekanan pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan paling ketara berlaku di Kuala Lumpur berbanding Putrajaya dan Labuan.

Justeru  kerajaan  terus  memberi tumpuan  meningkatkan pendapatan dan memperluas peluang ekonomi rakyat di Kuala Lumpur.

"Sehubungan itu, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) mengunjurkan penyediaan 1.2 juta peluang pekerjaan di ibu negara, termasuk 120,000 dalam sektor informal.

"Pelan berkenaan turut memberi penekanan kepada perluasan peluang perniagaan kecil dan mikro melalui penyediaan ruang niaga mampu milik seperti pop-up, food truck dan food cart, selain menggalakkan penggunaan semula bangunan sebagai ruang perniagaan," katanya ketika menjawab soalan di bangkitkan wakil Padang Serai
Datuk Azman Nasrudin di Parlimen.

Datuk Azman meminta kerajaan menyatakan kesan sosial daripada pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat terutamanya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.

Selain itu, Dasar RENEW dan Garis Panduan Penggunaan Semula Bangunan Kuala Lumpur telah dilancarkan Oktober lalu, bagi merancakkan semula fungsi ekonomi bandar, sekali gus menggiatkan lagi nadi ekonomi bandar, membuka lebih banyak peluang penjanaan pendapatan dan mempertingkatkan mobiliti sosial rakyat.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN