fb fb fb fb fb

Kerajaan teroka model baharu pembangunan pekebun kecil menerusi MoU LGM dengan MARDEC

SIK, 5 Oktober- Lembaga Getah Malaysia (LGM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) Bhd dalam usaha meneroka model baharu pembangunan pekebun kecil getah yang lebih sistematik yang dijangka meningkatkan pendapatan mereka.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kolaborasi itu memastikan pekebun kecil getah dapat menikmati Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan menjadi lebih produktif serta mempunyai pegangan bersaiz ekonomi dalam industri huluan getah di samping memberikan pulangan setimpal kepada mereka.

“Persefahaman ini untuk memastikan industri getah mampan untuk jangka panjang selain konsep untuk kita menguruskan ladang getah yang ketika ini agak lembap daripada segi penghasilan kerana 40% daripada pekebun kecil tidak aktif. Jadi kita rugi di situ,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia bersama pekebun kecil getah Wilayah Utara selain menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata MoU selama setahun itu adalah mengenai usaha membangunkan model yang efektif sebagai projek rintis di Wilayah Utara terlebih dahulu sebelum diperluas ke negeri lain.

“Ia dilaksanakan sebagai projek rintis di Wilayah Utara dulu, kerana Kedah mengeluarkan hasil getah paling tinggi iaitu sebanyak 30%. LGM dan MARDEC akan memikirkan model yang sewajarnya dan akan buat projek rintis, selepas itu kita lakukan pendekatan yang sama di ladang-ladang getah yang lain,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
FOTO BERNAMA

Beliau turut optimis pengurusan ladang getah yang baik dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil apabila berlaku peningkatan hasil komodoti itu sekali gus dapat menghasilkan banyak produk huluan getah untuk dieksport ke negara luar.

“Saya percaya kalau kita dapat menguruskan dengan baik, hasil getah kita meningkat, bahan-bahan ini cukup malah juga kita boleh buat lagi banyak produk huluan. Kita eskport dan juga boleh mengawal harga getah,” katanya. -BERNAMA

Media Baharu