ALOR SETAR, 29 April - Kerajaan bertekad untuk menoktahkan masalah kemiskinan tegar di Kedah dengan kerjasama kerajaan negeri.
Ini dibuktikan menerusi peruntukan sebanyak RM1.6 bilion yang diberikan kepada negeri tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut tidak termasuk bantuan seperti membaiki sekolah dan klinik daif serta projek bekalan air di beberapa daerah.
"Tanpa kecuali, kita akan tangani masalah kemiskinan tegar melalui pelbagai program Kerajaan Perpaduan kerana kita tekad menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara termasuk Kedah.
"Saya minta kerjasama agensi Kerajaan Pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bantu, adalah mengaibkan negara yang ada potensi dan khazanah besar seperti minyak, gas, kelapa sawit dan industri, namun gagal menyelesaikan kemiskinan tegar," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di sini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut mencemar duli berangkat hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta barisan jemaah menteri lain.
Tambah Anwar, adalah sesuatu yang mengaibkan apabila negara seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai hasil, namun masih gagal menyelesaikan isu kemiskinan tegar dalam kalangan rakyatnya.
Katanya, tumpuan lebih akan diberikan kepada negeri yang didapati mempunyai jumlah penduduk miskin tegar yang tinggi bagi membantu mereka keluar dari kepompong kesukaran hidup.
"Tahun ini kerajaan ambil keputusan menoktahkan kemiskinan tegar, antara negeri yang masih catat jumlah kemiskinan tegar termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya.