fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju buka semula kertas siasatan kematian Beng Hock

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan berkaitan kematian mendiang Beng Hock.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, siasatan akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, disampung mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 September 2014.

"Hari ini saya telah bertemu dengan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya dan berbicara panjang bersama ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, di samping anak mendiang Teoh Er Jia dan adik mendiang Teoh Lee Lan.

"Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga" kata Anwar menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau memaklumkan telah lama mengikuti rapat kes tersebut dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga itu yang sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seseorang atau beberapa orang tidak dikenali.

TETITIA YUSOFF