fb fb fb fb fb

Kerajaan perkenal mekanisme kawalan subsidi RON95, elak disalah guna

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

JELUTONG, 23 September -Beberapa mekanisme kawalan akan diperkenalkan bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 berjalan lancar dan tidak disalah guna.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu bagi memastikan golongan seperti pemandu e-hailing yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.

"Dengan penggunaan sistem yang ada, kita mempunyai rekod lengkap (track record) yang membolehkan kita mengetahui kekerapan seseorang membuat pengambilan (pembelian) dalam sehari serta jumlah penggunaan bulanan. Kita juga boleh mengesahkan maklumat tersebut dengan syarikat e-hailing dan p-hailing bagi memastikan mereka benar-benar terlibat dalam pekerjaan tersebut.

"Kita juga ada beberapa mekanisme yang kita akan perkenalkan di mana kita tidak akan membenarkan mereka yang buat banyak kali pembelian dalam sehari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berada pada tahap baik.

Semua syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak.

"Insya-Allah, saya rasa persediaan yang dibuat setakat ini sudah mencukupi. Namun, kita sedia maklum bahawa tiada siapa yang sempurna, dan kadangkala perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Jadi, saya harap orang ramai dapat bersabar, terutamanya apabila sesuatu yang baharu dilaksanakan. Mungkin akan ada segelintir kes yang tidak berjalan lancar pada peringkat awal.

"Namun begitu, kerajaan tetap komited untuk menunaikan janji. Jika seseorang itu berhak menerima RM1.99, maka itulah yang akan diberikan," katanya.

TETITIA YUSOFF