Kerajaan pantau syarikat telekomunikasi, pastikan liputan internet stabil

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kerajaan terus memperkukuh pemantauan syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi bagi memastikan rakyat menikmati liputan internet yang stabil dan berkualiti, termasuk di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, langkah itu dilaksanakan melalui audit kualiti secara berkala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain tindakan tegas terhadap syarikat yang gagal mematuhi piawaian.

“Kerajaan melalui MCMC sentiasa memantau kualiti perkhidmatan syarikat pemberi perkhidmatan komunikasi bagi memastikan rakyat mendapat liputan dan perkhidmatan yang memuaskan termasuk di kawasan luar bandar.

“Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti liputan internet, MCMC menjalankan audit kualiti secara berkala di seluruh negara bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemberi perkhidmatan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan,” katanya.

Tambah beliau, hasil audit pada 2024 menyaksikan 268 arahan Suruhanjaya dikeluarkan melibatkan 219 lokasi yang gagal mematuhi piawaian ditetapkan.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkenaan kaedah pemantauan
dan penalti dikenakan kementerian terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal memberi liputan memuaskan khususnya di kawasan luar bandar.

“Dari 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 2,781 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 1,684 ketidakpatuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan melibatkan 815 lokasi keseluruhannya.

“Pemberi perkhidmatan telah berjaya membuat penambahbaikan pada 462 ketidakpatuhan sehingga patuh terhadap Standard Mandatori. Baki 1,222 ketidakpatuhan masih dalam proses penilaian kerana melibatkan naiktaraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama,” katanya.

Tegasnya, pemeriksaan susulan akan diteruskan dan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM1 juta boleh dikenakan terhadap syarikat yang masih ingkar arahan MCMC.