KUALA LUMPUR, 16 Februari- Kerajaan optimis terhadap usaha negara untuk mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 demikian dinyatakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau yang juga Pengerusi Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berkata pembudayaan integriti sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai kedudukan baik dalam CPI.
"Tahun lepas kita telah berjaya memudah cara 160 proses dalam perkhidmatan awam. Tahun ini kita naikkan angka itu kepada 400 begitu juga kita akan memuktamadkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita RTM selepas menjadi tetamu Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Dalam pada itu kementerian dan agensi kerajaan perlu giat mengadakan sesi libat urus bersama media dalam usaha menyebarluaskan lagi inisiatif-inisiatif kerajaan yang bermanfaat kepada rakyat.
Selain itu ia juga secara tidak langsung memupuk budaya beretika dan berintegriti dalam perkhidmatan awam.
"Dalam kerajaan ini kita ada banyak benda-benda baik yang dilakukan namun segala kejayaan usaha ini perlu dilakukan dengan promosi secara tuntas.
"Salah satu langkah yang boleh dilakukan adalah dengan penglibatan media supaya perkara yang dilakukan kerajaan dapat disebar luas kepada masyarakat selain memastikan integriti menjadi salah satu elemen penting dalam tadbir urus kerajaan," katanya.