fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri Selangor kerjasama dengan PDRM tangani kes penipuan dalam talian

(Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemu bual media selepas 
merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai di Batu Caves, Selangor) 

BATU CAVES, 11 September - Kerajaan negeri Selangor menumpukan perhatian untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes penipuan dalam talian yang membimbangkan di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata lebih banyak program keselamatan siber akan dilaksanakan pada tahun depan selain mengumpul dan menganalisa data berhubung perkara itu.

"Jadi ini mungkin akan menghalang pencurian data dilakukan, bagaimana pengambilan data secara tidak sah dibuat oleh beberapa pihak yang kemudian menjurus kepada unsur yang membawa penipuan dalam talian scammer yang begitu berleluasa," kata beliau ketika ditemui pada Karnival Ekstrem Gua Damai, di sini hari ini.

Amirudin turut menasihati orang ramai lebih berhati-hati untuk elak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor memaklumkan RM92.8 juta ringgit kerugian dicatat dalam tempoh sembilan bulan tahun ini sejak Januari di Selangor.

Sepanjang tempoh itu, kes penipuan menyumbang 76.9 peratus daripada rekod jenayah komersil di negeri itu.

 
(Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai
di Batu Caves, Selangor) 

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri Selangor sudah bersedia dengan menambahkan aset sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di negerinya.

Mesyuarat di peringkat persekutuan bersama semua agensi dan pihak terlibat juga turut diadakan esok untuk membincang persediaan menghadapi bencana banjir di negeri itu.

"Kita dah buat lima, enam mesyuarat, bulan sembilan ini saya aturkan satu simulasi, tarikh akan nantikan saya maklum kepada media bila simulasi kita nak buat," jelas Amirudin.

Semalam, kerajaan Selangor meminta semua penduduk yang tinggal di sekitar daerah Klang, Kuala Selangor serta kawasan berhampiran, supaya sentiasa peka terhadap risiko banjir berikutan amaran fenomena air pasang besar bermula hari ini.

Amaran berhubung fenomena itu telah dihebahkan kepada umum dengan dijangka paras air pasang besar akan melebihi ketinggian lima meter.

Media Baharu