(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media khas di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 10 April- Kerajaan memansuhkan ujian teori untuk semua Lesen Vokasional bagi kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemohon hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sahaja sebelum dikeluarkan lesen berkenaan.
"Ini adalah salah satu yang sudah tentunya akan memudahcarakan ramai pemohon, namun calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional,"katanya.
Tambahnya lagi selaras dengan hasrat pendigitalan Kementerian Pengangkutan, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga dibenarkan secara atas talian.
Ia sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat Perniagaan pengantaraan berkelayakan yang telah dikawal selia JPJ.
Tempoh kelas teori sedia ada turut dikekalkan.
Sementara itu, Anthony memaklumkan had usia maksima pengunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-hailing dilanjutkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2023.
Katanya, dasar itu terpakai ke atas kenderaan e-hailing di seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia merangkumi teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.
Jelasnya lagi pengunaan kenderaan teksi dan e-hailing sentiasa tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat teknikal dan ciri keselamatan dilesenkan untuk beroperasi di atas jalan raya.
Beliau juga berharap dengan pelaksanaan dasar baharu itu, beban pemandu teksi dan e-hailing dapat diringankan khususnya mereka yang terkesan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 lalu.
(FOTO HIASAN)