(Pertukaran dokumen MoU antara kerajaan Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha KPT, Datuk
Seri Abdul Razak dengan Setiausaha Tetap bagi Pendidikan UK, Susan Acland- Hood/ BERNAMA)
LONDON, 10 Mei- Kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK) menerusi Kementerian Pendidikan masing-masing menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi pada Rabu, bertujuan memantapkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan kedua-dua negara.
MoU itu antara lain akan mengukuhkan lagi kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara bagi membolehkan lebih ramai penuntut UK melanjutkan pengajian di Malaysia dan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran penuntut.
Selain itu, kerjasama pendidikan di peringkat antarabangsa secara tidak langsung akan merangsang institusi pengajian tinggi (IPT) negara untuk terus bersaing dalam penawaran program pengajian yang berkualiti demi menarik lebih ramai penuntut antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi masing-masing.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia manakala Setiausaha Tetap bagi Pendidikan UK Susan Acland-Hood mewakili kerajaan United Kingdom.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Datuk Zakri Jaafar menyaksikan majlis penandatanganan MoU berkenaan yang diadakan di Department for Education (DfE), UK di sini. Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Md Amin Md Taff dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Fadzli Adam.
Menurut MoU berkenaan, ia antara lain merangkumi pemantapan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik dan latihan bakat antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara; melaksanakan pertukaran kakitangan akademik, guru, pelatih, pakar dan penuntut antara IPT selepas berunding dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Department of Business and Trade (DBT) mengenai program yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak; menyediakan platform latihan kepada pentadbir pendidikan dan guru termasuklah yang terlibat dengan latihan dalam perkhidmatan.
Ia turut membolehkan penawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf oleh kedua-dua pihak; melaksanakan program dua hala antara institusi pendidikan tinggi; dan saling membantu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inovasi, pembelajaran dalam talian, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan.
Abdul Razak berada di London untuk lawatan kerja hingga 12 Mei. Semasa berada di sini, beliau menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN yang antara lain membincangkan perancangan dan pembangunan sektor pendidikan Asia Tenggara, serta topik-topik berkaitan seperti perubahan iklim; kesaksamaan gender; TVET; serta pengaplikasian dan transformasi teknologi digital.
KSU KPT itu turut mengambil peluang bertemu dengan lebih 300 penuntut Malaysia yang berada di United Kingdom pada majlis Hari Raya Madani.
Terdahulu, dalam satu majlis di University of London, Abdul Razak menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London untuk mempromosi bahasa Melayu di benua Eropah.
Jalinan kerjasama itu sekali gus memperkembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia. UPSI memfokuskan kepada perkongsian budaya, nilai-nilai dan tatasusila melayu manakala UniSZA akan mempelopori projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.
KSU KPT dan delegasi turut melawat Perpustakaan SOAS yang menempatkan manuskrip tamadun Islam dan Melayu.
- BERNAMA
(FOTO FB Kementerian Pendidikan Tinggi)