Kerajaan lulus RM13.5 juta naik taraf SKJC Perting

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Tionghua di Dewan Utama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting hari ini/Foto BERNAMA

BENTONG, 22 Januari – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM13.5 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Perting di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meluluskan peruntukan RM13.5 juta untuk penambahbaikan SKJC Perting.
  • RM300,000 diluluskan segera untuk kerja pra pelaksanaan awal tahun ini.
  • Tambah sebuah bangunan enam bilik PPKI dan satu bilik Prasekolah Integrasi untuk kemasukan pra sekolah dan darjah 1.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM300,000 diluluskan segera bagi membolehkan kerja-kerja pra pelaksanaan dimulakan lebih awal.

“Projek ini telah diluluskan dan kerja awal mesti dilaksanakan sekarang supaya tidak menimbulkan masalah kepada pelajar pada masa depan,” katanya.

Tambahnya, peruntukan tersebut melibatkan pembinaan sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan satu bilik darjah Prasekolah Integrasi di sekolah berkenaan.

Peruntukan diberikan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk kemasukan pra sekolah umur 5 tahun dan darjah 1 umur 6 tahun secara sukarela bermula tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Dewan Utama SJKC Perting, Bentong.