KOTA BHARU, 24 Ogos - Kerajaan meluluskan pembinaan kompleks Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) yang baharu di Tunjong dengan kos dianggarkan bernilai lebih RM400 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, proses tender kini sedang dijalankan dan berharap pembinaan dapat dipercepatkan.
"Sekarang sudah lebih 40 tahun, jawatan bertambah dan bilik-bilik yang ada tidak lagi mencukupi. Sebab itu kita memohon pembinaan baharu dan Alhamdulillah, kerajaan telah meluluskannya. Kini, ia berada dalam proses tender untuk pembinaan IPK baharu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
IPK Sedia ada telah dibina sejak tahun 1980-an dan tidak lagi mampu menampung pertambahan jawatan serta keperluan operasi semasa.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM4.5 juta juga diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan kuarters serta balai polis di negeri itu yang telah uzur.
Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengenal pasti 153 pengkalan haram di tanah kerajaan negeri untuk dirobohkan.
Operasi perobohan akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.