fb fb fb fb fb

Kerajaan komited selesaikan masalah jalan perhubungan di kampung orang asli, Gua Musang

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang

GUA MUSANG, 4 Januari- Kerajaan komited menyelesaikan masalah jalan perhubungan di kampung orang asli pedalaman, Gua Musang, Kelantan yang terjejas akibat kejadian banjir dan tanah runtuh.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, berharap pelaksanaan projek jalan perhubungan bersepadu melibatkan orang asli di 56 buah kampung pedalaman yang akan dimulakan bulan ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurut Rubiah, projek jalan tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Jun lalu melibatkan kos sebanyak RM 200 juta.

"Telah pun dalam proses tender, telah selesai pun dan menunggu untuk penyerahan tapak, mungkin bulan Januari ini kita sudah mula kerja-kerja awalan untuk projek berkenaan. Memang harapan kita khasnya KKDW projek ni dapat dilaksanakan dengan jayanya, maksudnya tiada gangguan dan tiada konflik yang timbul sepanjang proses pelaksanaan.

"Ini harapan kita, sebab itu kita memerlukan kerjasama daripada pihak pelaksana, kontraktor dan masyarakat orang asli itu sendiri untuk membantu memastikan apa-apa sahaja isu atau masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan jalan berkenaan dapat diselesaikan dengan baik", katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Penghantaran Bekalan Makanan menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ke kawasan perkampungan orang asli di Kampung Jader, Pos Simpor.

ROSLINA BINTI DIN