fb fb fb fb fb

Malaysia gesa dalang keganasan Iran dihukum

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 4 Januari - Malaysia mengucapkan takziah kepada Iran dan rakyatnya berikutan insiden pengeboman di Wilayah Kerman, Iran pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berdukacita dan bersolidariti atas insiden berkenaan yang telah mengakibatkan lebih 100 orang terkorban.

"Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.

"Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa. Ini termasuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dan yang terbaharu di Lubnan," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Tegas Anwar, sempena tahun baharu, Malaysia menggesa dunia membantah budaya ganas dan rakus demi menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam tragedi pengeboman di bandar Kerman.

Wisma Putra berkata Kedutaan Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk maklumat terkini.

"Rakyat Malaysia di Iran, khususnya di bandar Kerman turut dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan," menurut Wisma Putra.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN