fb fb fb fb fb

Kerajaan komited kekalkan Malaysia negara ekonomi terbuka

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kerajaan menzahirkan komitmen untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka.

Bagaimanapun, langkah strategik akan dilaksana bagi mengimbangi kepentingan negara dalam menghadapi perubahan dasar pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa akan memanfaatkan peluang untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama sedia ada dengan AS.

"Sebagai sebuah negara yang ekonominya banyak bergantung kepada perdagangan, kita pasti akan merasai kesannya secara langsung atau tidak langsung.

"Namun, kita sedang meneliti keadaan ini dan laporan-laporan akan dibentangkan kepada kabinet dari semasa ke semasa", katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ingin tahu bagaimana Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan mengimbangi hubungan ASEAN bersama BRICS dengan mengambil kira ancaman ekonomi oleh AS di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump.

ROSLINA BINTI DIN