KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kerajaan mengecam tindakan pihak yang cuba untuk mengugut dan mengancam keselamatan Ahli Parlimen di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan memalukan berkenaan tidak harus berlaku, tidak kira kepada Ahli Parlimen pihak kerajaan mahupun pembangkang.
"Saya kesal kerana perkara ini tidak harus diperlakukan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat.
"Mereka ada hak untuk bersuara dan ini terpakai sama ada mereka adalah Ahli Parlimen di pihak kerajaan atau pembangkang. Jangan diugut kerana mereka adalah suara rakyat.
"Ini adalah satu tindakan bagi saya cukup memalukan," katanya selepas melancarkan Ekspresi Bulan Kebangsaan di ibu negara hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditanya mengenai kejadian Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menerima ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediamannya semalam.
"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan," tambah Fahmi.