KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan sedang memperkukuh sistem kehakiman syariah negara dan memartabatkan kedudukan hakim syarie setara dengan hakim Mahkamah Sivil melalui kajian pewujudan beberapa akta yang akan menjadi asas kepada penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata antara akta yang sedang dikaji ialah Akta Mahkamah Syariah, Akta Suruhanjaya Pelantikan Hakim Syarie dan Akta Saraan Hakim Syarie, termasuk pertimbangan mewujudkan skim dan akta persaraan khusus bagi hakim-hakim syarie.
"Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang ke arah penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia yang turut dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Buat masa ini, kajian terperinci masih dijalankan di peringkat Jawatankuasa Penggubalan dengan penglibatan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan bidang kuasa negeri serta struktur perundangan sedia ada", katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Dr Mohd Na’im berkata cadangan pindaan di bawah Akta Saraan Hakim Syarie turut melibatkan pelanjutan umur persaraan hakim syarie daripada 60 kepada 66 tahun.
Mengulas mengenai struktur kehakiman syariah, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti penubuhan satu lagi peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Utama Syariah seperti yang telah diwujudkan di Perak dan Sabah.
Selain itu, Datuk Dr Mohd Na’im berkata kerajaan terus menyokong usaha menjadikan Hospital Pusrawi sebagai hospital patuh syariah yang berperanan menyediakan rawatan berasaskan nilai ihsan dan rahmah.
Beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti langkah strategik untuk memperluaskan konsep hospital patuh syariah ke institusi kesihatan Islamik lain.
Menurut Mohd Na’im, usaha itu juga bertujuan memperkukuh peranan dana zakat dan wakaf kesihatan, di samping menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperkasa sistem kesihatan Islamik negara.-BERNAMA