
KUALA LUMPUR, 27 Januari -Kerajaan komited memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan adil, termasuk memberi perhatian kepada kawasan dalaman serta daerah yang sebelum ini kurang mendapat tumpuan.
- Kerajaan komited pembangunan lebih menyeluruh dan adil termasuk kawasan dalaman dan tertinggal.
- Keutamaan diberi kepada sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik serta teknologi tinggi.
- Dasar pembangunan merangkumi projek yang mengambil kira kawasan terbiar dan kurang tumpuan.
- Pelaksanaan dikawal oleh kerangka kementerian termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kemasukan pelaburan tidak dapat dikawal sepenuhnya, kerajaan boleh menetapkan keutamaan terhadap sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta teknologi tinggi.
Katanya, pendekatan itu dilaksanakan bukan sahaja daripada sudut pelaburan, malah merangkumi dasar pembangunan yang lebih menyeluruh menerusi pelaksanaan projek yang mengambil kira kawasan tertinggal atau terbiar.
“Atau dalam bidang-bidang yang kita kaitkan dengan soal pelaburan yang bernilai. Tetapi tentunya dari segi dasar lain, tidak hanya dari segi pelaburan, pembangunan kita itu harus lebih menyeluruh dan adil. Dan ini dilakukan oleh kerajaan menurut rangka lain.
“Umpamanya dari sudut memastikan projek-projek pembangunan itu mengambil kira kawasan-kawasan dalaman, kawasan yang agak tertinggal atau terbiar ini memang dilakukan dalam kerangka Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan supaya ekonomi di Kinabatangan juga dapat berkembang,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar di Dewan Rakyat.