PUTRAJAYA, 4 Februari- Semua Kementerian dan agensi disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.
"Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini amat memberi kesan kepada rakyat bukan sahaja terhadap harta benda sehingga mengakibatkan kerugian RM6.1 bilion, malah kehilangan nyawa.
"Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang," jelas Perdana Menteri menerusi satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam.
Mesyuarat itu bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.
Tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat, menerusi mesyuarat itu kerajaan bersetuju menggariskan lapan langkah strategik menambah baik pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Langkah itu adalah Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR), Penekanan Terhadap Inisiatif DRR, Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR, Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana serta Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR.
Selain itu Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan akan turut diperkasa, meningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik, Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.
Menurut Ismail, pemerkasaan DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir, dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik.
Selain itu mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).
"Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal, katanya.
Kerajaan juga akan turut melaksanakan pengenalan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan iaitu sekolah, kolej dan universiti agar dapat diadaptasi sebagai norma baharu.
Mesyuarat semalam, dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi-agensi yang berkaitan.