fb fb fb fb fb

Kerajaan akan pohon perkenan Sultan Nazrin untuk nama Jambatan Bagan Datuk- TPM Zahid

BAGAN DATUK, 1 Jun- Kerajaan berhasrat menamakan jambatan baharu yang menghubungkan Daerah Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop di Pasir Salak, sempena nama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan disembah maklum kepada baginda dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan dan merasmikan jambatan berkenaan.

“Saya ingin mencadangkan jambatan itu dinamakan sebagai Jambatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan saya mohon agar Tuanku perkenan nama itu.

“Saya mohon agar Tuanku perkenan nama itu dan tarikh perasmiannya sempena dengan Hari Keputeraan baginda (pada November) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke Jambatan Bagan Datuk yang dibuka hari ini.


(Datuk Seri Ahmad Zahid mengadakan lawatan kerjanya ke Jambatan Bagan Datuk
yang dibuka hari ini)

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jambatan yang menghubungkan antara Bagan Datuk dan Sejagop dibina merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer (km) dengan reka bentuknya mengambil kira ruang utiliti seperti paip air Lembaga Air Perak bagi bekalan air ke Bagan Datuk.

Ujarnya, pembukaan jambatan itu bakal meningkatkan pembangunan ekonomi setempat, selain menjimatkan masa perjalanan untuk penduduk setempat ke pekan berhampiran.

Sebelum ini, pengguna jalan raya dari Sitiawan perlu melalui Jalan Hutan Melintang untuk ke Bagan Datuk, mengambil masa lebih satu jam perjalanan dengan jarak melebihi 50km.

Namun, dengan pembinaan jambatan baharu itu, ia dapat memendekkan perjalanan hingga ke 15 minit dengan jarak 10.5km.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melancarkan laluan baharu bas henti-henti Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) yang menghubungkan Bagan Datuk ke Teluk Intan dan Kampung Gajah.

Laluan baharu yang memulakan operasi pada 12 April lalu itu memberi manfaat kepada lebih 151,539 komuniti setempat, termasuk 11 institusi pengajian, lima klinik kesihatan, Felcra, estet, hospital dan balai polis.

Inisiatif yang digerakkan bagi memperkasa sistem pengangkutan awam itu antara lain membantu masyarakat setempat dengan menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.




Media Baharu