fb fb fb fb fb

Perkhidmatan awam adaptasi semangat ‘Keluarga Malaysia - Keluarga Perkhidmatan Awam’

KUALA LUMPUR , 1 Mac - Kerajaan akan memastikan perkhidmatan awam sentiasa mengadaptasi semangat ‘Keluarga Malaysia - Keluarga Perkhidmatan Awam’, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Konsep itu melibatkan setiap kementerian dan agensi saling bantu-membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara.

"Kerajaan juga telah menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi. 

"Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk dan membina masyarakat yang lebih progresif. Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan," kata Ismail Sabri di Parlimen.

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini/BERNAMA)

Tambahnya, agenda pemulihan yang dirancang akan tetap diteruskan terutama dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan dan memudahkan aspek perniagaan. 

Namun, beliau akui masih ada lagi ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

 

Media Baharu