fb fb fb fb fb

Industri halal menyumbang ekonomi negara

Mohd Na’im Mokhtar/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September-Perjalanan selama 50 tahun dalam industri halal telah meletakkan Malaysia di barisan hadapan dan menjadi peneraju dalam menetapkan standard serta inovasi. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata badan pensijilan halal yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta telah memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat halal global.

"Fokus Malaysia terhadap industri halal telah berkembang dengan ketara sepanjang 50 tahun yang lalu, menjadikannya pusat global untuk produk dan perkhidmatan halal.

"Sepanjang lima dekad ini, Malaysia telah mengubah sektor halalnya daripada tumpuan domestik kepada industri antarabangsa yang berkembang pesat; menyumbang kepada ekonomi negara dan pasaran halal global.

"Perkembangan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mematuhi prinsip-prinsip Islam sambil memajukan pertumbuhan ekonomi," katanya pada Sidang Kemuncak Halal Global 2024 di sini.

Beliau berkata industri halal dijangka mencapai sehingga AS$5 trilion menjelang 2030, hanya dengan mengambil kira pasaran pengguna Muslim bagi pasaran global. 

Pasaran sebenar akan lebih besar jika potensi pengguna bukan Muslim juga diambil kira. 

Oleh itu, kerjasama global akan memainkan peranan yang amat penting.

Tambahnya, oleh kerana kerangka tadbir urus bagi pensijilan halal telah menetapkan piawaian global, Malaysia sentiasa dilihat sebagai model untuk mencipta sistem pensijilan halal di negara luar termasuk negara bukan Islam.

Justeru, kerajaan Malaysia komited untuk membangunkan ekosistem halal melalui kerjasama global dan penyelarasan standard.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM