fb fb fb fb fb

Keputusan DNB tamat perjanjian SSA dengan TM masih kekal - Gobind

Menteri Digital, Gobind Singh Deo/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Keputusan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi menamatkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih kekal.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagaimanapun berkata pihak TM boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Keputusan telah pun dibuat oleh DNB. Keputusan itu kekal pada masa sekarang dan mereka tidak capai had masa yang ditetapkan," kata Gobind kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Forum Pelabuhan Laut Terhubung di Kuala Lumpur.

TM menerima notis penamatan daripada DNB bagi SSA yang ditandatangani pada 1 Disember 2023 membabitkan kepentingan dalam DNB.

Perkara itu berlaku selepas permohonan dan rayuan TM untuk “pelanjutan syarat duluan tarikh henti panjang” ditolak.

Permohonan dan rayuan untuk pelanjutan seterusnya bertujuan mendapatkan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa berikutan SSA melibatkan transaksi pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Gobind berkata pengendali pelabuhan Malaysia perlu melabur dalam teknologi digital dan 5G bagi mengekalkan tahap daya saing.

Selain itu, pendigitalan pelabuhan laut akan turut menambah nilai kepada ekosistem logistik dan rantaian bekalan.

“Satu contoh yang jelas adalah lebih ramai pemain boleh meningkatkan rantaian nilai dengan pengintegrasian penyelesaian digital. Pendigitalan pelabuhan laut akan mengurangkan halangan kemasukan rakyat Malaysia untuk berniaga secara dalam talian dan merentas sempadan.

“Ini akan memudahkan bukan sahaja pemilik perniagaan malah suri rumah yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah keluarga dengan menyertai e-dagang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa industri pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin perlu memanfaatkan ketersambungan bertaraf dunia yang sedia ada di negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM