KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Operasi mencari dan menyelamat mangsa seorang wanita warganegara India di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam ditangguhkan pada pukul 6.00 petang tadi dan akan disambung kembali pada pagi esok.
Terdahulu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan media memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di IWK Pantai dalam akan terus melakukan kerja-kerja 'flushing' dan pemeriksaan fizikal ke setiap ruang yang berkemungkinan terdapat petunjuk untuk menemukan mangsa.
Hari ini memasuki hari kelima misi mencari pelancong India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang hilang selepas terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter yang terhasil akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama, antara lain telah menggunakan teknik flushing, jetter dan alat pengesan bawah tanah atau Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR) untuk mencari mangsa, namun setakat ini masih belum menemukan wanita itu.