fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025 termasuk input pemegang taruh - Zaliha

Dr Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 27 Ogos- Sesi percambahan idea bersama-sama pemegang taruh di Wilayah Persekutuan akan dijadikan sebagai asas kepada perancangan dan pelaksanaan Belanjawan 2025 di wilayah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, perkongsian input daripada pihak berkepentingan itu merangkumi pelbagai aspek dan ia merupakan nilai tambah bagi pelaksanaan belanjawan lebih inklusif.

"Kita akan ambil input-input ini sebelum berjumpa dengan Kementerian Kewangan untuk memberikan keutamaan kepada usul-usul yang akan dilaksanakan bagi Wilayah Persekutuan untuk 2025 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Dialog Belanjawan 2025 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini petang tadi.

Lebih 200 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemimpin setempat, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin belia serta wakil daripada pihak swasta menyertai sesi dialog selama hampir 2 jam itu.

Dalam pada itu, menyentuh insiden mangsa wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, Dr Zaliha berharap tidak ada lagi timbul dakwaan yang tidak berdasarkan fakta tepat yang boleh menimbulkan keresahan umum.

"Apa pun kita perlu bercakap dengan fakta, saya bimbang sekiranya perkara tidak menggunakan fakta ini boleh menimbulkan keresahan kepada penduduk. Kita tidak mahu ia jadi begitu.

"Jadi saya harap tidak ada perkara sedemikian, kita akan rujuk kepada pihak bertanggungjawab yang berautoriti untuk mendapatkan apa yang terkini," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI