fb fb fb fb fb

Kepimpinan ASEAN menuntut keberanian dan hala tuju serantau - PM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kepimpinan ASEAN dituntut berani untuk memperbaharui hala tuju serantau dalam menghadapi perkembangan geopolitik global yang tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tahun 2025 merupakan tempoh penting yang memerlukan negara anggota memperkukuh iltizam terhadap dialog, persefahaman dan kerjasama demi memastikan keamanan dan kemakmuran yang berterusan.

Beliau berkata, kestabilan serantau tidak boleh dicapai melalui keseragaman pandangan semata-mata, tetapi menerusi pertimbangan rasional, hormat-menghormati.

"Merentasi rantau, kita sedang melihat persaingan kuasa yang semakin ketara dan keadaan yang semakin tidak menentu.

Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi kita, tetapi turut menguji kesediaan kita untuk terus mempercayai nilai kerjasama bahawa persefahaman dan dialog masih penting. Di sebalik cabaran ini, ASEAN terus kekal teguh", katanya pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Ia sekaligus yang menandakan bermulanya siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian Asean-Malaysia 2025.

"Kekuatan kita bukanlah kerana semua negara bersetuju dalam setiap perkara, tetapi daripada komitmen untuk menghormati perbezaan dan berfikir secara rasional", tambahnya.

Beliau juga menyifatkan permeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang ditandatangani pagi ini sebagai tindakan berani kedua-dua negara dalam memilih penyelesaian berasaskan dialog dan rekonsiliasi.

Langkah itu bukan sekadar penyelesaian pertikaian dua hala, sebaliknya membawa isyarat penting kepada dunia bahawa pilihan terhadap perdamaian dan persefahaman mampu membentuk masa depan rantau ini secara lebih stabil dan inklusif.

Trainee