(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Dasar pengambilan pekerja yang bebas daripada elemen penindasan dengan meraikan kepelbagaian masyarakat dilihat menjadi pemangkin kepada prestasi syarikat.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kepelbagaian pekerja yang berbeza latar belakang dalam sesebuah organisasi akan mencipta perspektif berbeza yang mampu menyumbang kepada kemajuan syarikat.
Jelasnya, hala tuju syarikat yang menerapkan dasar sedemikian terbukti lebih inovatif dan berupaya merintis perubahan selari peredaran masa.
"Syarikat yang mengiktiraf nilai kepelbagaian dan keterangkuman adalah lebih inovatif, mudah menyesuaikan diri dan berdaya tahan. Mereka adalah inkubator kreativiti di mana individu daripada pelbagai latar belakang bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran.
"Dengan menyokong kepelbagaian, kita bukan sahaja menghormati identiti nasional tetapi juga mengukuhkan perniagaan dan ekonomi kita," kata Sivakumar pada Majlis Makan Malam Gala International Public Employment Forum (IPEF 2023), di sini.
(Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar)
Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah MYFutureJobs bagi menghargai sumbangan majikan, penyedia latihan dan pusat rehabilitasi kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menerusinya sebanyak lapan kategori anugerah dan 24 pemenang yang menerima penghargaan pada majlis itu.