(Tony Pua/Foto fail Bernama)
KUALA LUMPUR, 24 Jun- Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti DAP, pada masa kini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke merujuk laporan media yang memetik ucapan Tony Pua dalam satu majlis dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.
Tegas beliau, ucapan daripada Tony Pua yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.
"Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.
"Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook, hari ini.
(Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke/Foto fail Bernama)
Pua dalam ucapannya mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai 'korup' selain berharap Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN pada PRU akan datang.
Anthony Loke dalam pada itu turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Ia demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
"Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas," tambahnya.