fb fb fb fb fb

Penambahbaikan skim persaraan terbesar, bukti kerajaan hargai penjawat awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025

PUTRAJAYA, 7 Disember - Kerajaan meluluskan kenaikan terbesar dalam sejarah perkhidmatan awam melibatkan tambahan RM10 bilion tahun ini dan RM18 bilion lagi bagi tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti rungutan penjawat awam yang tidak menerima sebarang penambahbaikan dalam skim persaraan selama lebih 12 tahun, meskipun kos sara hidup meningkat dan beban tugas semakin mencabar.

“Kenaikan kecil sebelum ini memang tidak munasabah selepas kita tertinggal selama 12 tahun. Sebab itu kali ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah, dengan tambahan RM10 bilion tahun ini dan RM18 bilion lagi tahun depan.

"Saya juga telah maklumkan kepada KSN, KPPA dan khususnya TSP Pantau supaya prestasi penjawat awam dipertingkat dan menjadi jauh lebih baik daripada sebelum ini. Dan saya yakin, insya-Allah, kita mampu mencapainya,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kenaikan itu bukan hanya bentuk penghargaan, tetapi juga sebagai pemangkin kepada penjawat awam agar mengekalkan integriti, mempertingkat produktiviti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember 2024, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN