KOTA BHARU, 14 Disember - Keputusan kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta disambut baik peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan.
Langkah tersebut disifatkan memberi ruang serta masa bagi membuat persediaan lebih rapi tanpa terbeban dengan kos lebih tinggi.
Bagi peniaga PKS, pelaksanaan system e-Invois memerlukan pelaburan tambahan termasuk langganan perisian, naik taraf sistem jualan serta latihan kakitangan.
Usahawan kerepek maruku, Siti Rahayu Ahmad berkata, pelaksanaan sistem baharu itu merupakan satu cabaran terutama dalam aspek pengurusan data dan dokumentasi jualan.
“Sebenarnya kita hendak membiasakan dengan pelaksanaan sistem, hendak masukkan data, bagaimana nak buat kalau tiada bil. Semua itu menjadi cabaran baharu usahawan.
"Jadi alhamdulillah, bila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menangguhkan RM500,000 bawah RM1 juta, kami menarik nafas lega sebab membantu kita memberi peluang untuk kita ambil masa untuk guna sistem baru ni dan juga insha-Allah memastikan lebih berjalan lancar", katanya.
Sementara itu, usahawan produk makanan, Wan Habsah Wan Ahmad menyifatkan keputusan tersebut sebagai ruang pembelajaran yang penting untuk memperkemaskan pengurusan perniagaan.
"Inilah satu ruang dan peluang yang lebih tersusun dan bagi kami dapat satu peluang belajar lagi untuk memperkemaskan segala sistem yang ada.
"e-Invois ini ini adalah satu ilmu baharu yang kita perlu belajar dan kita mesti sesuaikan dalam syarikat kita yang kecil... mungkin selepas ini kita perlu menggaji pekerja khas untuk membuat kerja e-Invoice", katanya kepada RTM.
Kenaikan nilai ambang itu akan memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk melakukan usaha pendigitalan pada kadar lebih wajar serta mampu diurus.