KUALA TERENGGANU, 4 April - Lauk pauk berasaskan ayam masih menjadi pilihan utama masyarakat walaupun berlaku kenaikan harga antara RM3 hingga RM5 seekor.
Tinjauan di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar di Kuala Terengganu mendapati, ayam bakar dijual pada harga RM27 seekor berbanding hanya RM22 pada Ramadan tahun lalu.
Menurut peniaga ayam madu Abd Wafi Zainuddin, sebanyak 70 ekor ayam dapat dijualnya pada hari pertama Ramadhan walaupun harga ayam dijual meningkat.
Katanya dia menjual ayam madu pada harga antara RM26 hingga RM28 seekor bergantung kepada saiz.
(Abd Wafi ditemui pemberita RTM)
"Bimbang jugak la sebab kenaikan harga sekarang ini, kita terkejut jugaklah. Percaya kepada rezekilah, jadi saya ingat pun kalau boleh kita berharap ayam tu walaupun naik harga sekarang, kekal lah maintain jangan ada kekurangan dalam 30 40 ekor kalau boleh harap kekal dalam 50 pun tak apa lah paling kurang," kata Abd Wafi di sini.
Sementara itu pengunjung yang ditemui berkata kenaikan harga barangan bukan saja terhad kepada ayam, malah pelbagai barangan keperluan asas lain termasuk daging.
"Kalau kita tak beli kita nak makan apakan, kalau nak katakan setakat makanan basah ni bukan setakat ayamlah ikan pun naik, daging semua naik. Jadi ikutkan masih lagi dalam kemampuan kitalah," kata pengunjung, Siti Rabiatu Tajulnisa.
"Memang terpaksa belilah sebab tu keperluan makanan," kata pengunjung, Wan Muadzam Wan Muhamad.