KUCHING, 4 Februari – Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dianggap sebagai langkah wajar seiring dengan peningkatan kos sara hidup akibat inflasi global, terutama selepas pandemik COVID-19.
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr. Dayang Affizzah Awang Marikan, berkata kenaikan ini mampu memberi impak positif kepada produktiviti pekerja, meningkatkan motivasi serta mengurangkan kadar pertukaran pekerja (turnover) dalam sektor pekerjaan.
"Apabila pekerja lebih bermotivasi dan kesejahteraan mental mereka lebih terjaga, ini akan meningkatkan rasa kepunyaan dalam organisasi. Akhirnya, ia akan memperkukuh produktiviti secara keseluruhan," katanya ketika ditemui Berita RTM pada Selasa.
Selain memberi manfaat kepada pekerja, beliau menjelaskan bahawa kenaikan gaji minimum juga dapat mengurangkan keperluan majikan untuk melatih pekerja baharu secara berterusan.
Ini sekali gus menjimatkan kos latihan dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat.
Tambah beliau, dari sudut ekonomi, kenaikan gaji minimum akan merancakkan perbelanjaan domestik, khususnya dalam kalangan golongan B40, yang cenderung membelanjakan pendapatan mereka dalam negara.
"Golongan B40 mempunyai kecenderungan tinggi untuk berbelanja apabila pendapatan mereka meningkat. Ini akan menyuntik pertumbuhan dalam ekonomi secara keseluruhan," jelasnya.
Beliau menjelaskan kenaikan ini dapat menggalakkan majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan, sekali gus mengawal kebergantungan kepada pekerja asing.
"Apabila kita mengambil lebih ramai pekerja tempatan, kita dapat mengurangkan aliran keluar wang ke negara lain. Ini kerana pekerja asing lazimnya menghantar sekitar 80 peratus gaji mereka ke negara asal. Dengan mengekalkan gaji dalam negara, ekonomi kita akan menjadi lebih rancak," katanya.
Katanya, bagi memastikan kesan positif ini berterusan, masyarakat perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah agar kenaikan gaji ini tidak memberi kesan negatif kepada sektor perniagaan serta ekonomi negara.
Dengan pendekatan yang betul, kenaikan gaji minimum ini boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan menjelang 2030.