Instrumen subsidiari diguna kenakan tindakan tegas terhadap platform media sosial

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan tegas terhadap platform media sosial berhubung penyebaran kandungan ‘deepfake’ menerusi instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Komunikasi akan kenakan tindakan tegas terhadap platform media sosial melalui instrumen subsidiari di bawah undang-undang berkaitan.
  • MCMC dan agensi penguat kuasa bekerjasama dengan platform untuk tangani kandungan jenayah, ancaman, provokasi dan kandungan AI memudaratkan.
  • Jika deepfake terus berleluasa selepas instrumen subsidiari berkuat kuasa, penalti kompaun boleh dikenakan kepada platform.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengakui isu kandungan ‘deepfake’ yang berleluasa kebanyakannya dibantu oleh platform media sosial.

Berdasarkan siasatan kami lakukan setakat ini, kandungan ini disebarkan tanpa sebarang teks, kebiasaannya bermaksud ia diletak sebagai iklan dan iklan ini dibayar ‘scammer’ kepada platform untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa sindiket penipuan ini,”katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai status pelaksanaan pendekatan pelesenan dan kebertanggungjawaban platform besar dan bagaimana perlindungan kanak-kanak dan keluarga dipastikan.

Datuk Fahmi berkata usaha yang telah dan sedang dijalankan termasuk tindakan penguatkuasaan selaras peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta 866 membolehkan keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, keluarga, dan golongan rentan dapat diperkukuh dan direalisasikan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengambil tindakan proaktif terhadap kandungan melibatkan jenayah, ancaman dan provokasi serta bekerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa lain.

Kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa lain juga giat dijalankan bagi menangani penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian yang dijana oleh AI.

Melalui pelaksanaan instrumen subsidiari, sekiranya kandungan deepfake masih berleluasa selepas instrumen ini berkuat kuasa maka tindakan penalti kompaun boleh dikenakan bukan kepada pengguna tetapi platform itu sendiri sebagai pengajaran,” katanya

Rangka kerja pelesenan telah bermula 1 Januari 2025 dan penguatkuasaan penuh dilaksanakan tahun ini.