KOTA BHARU, 15 Mac- Kementerian Kewangan menyeru rakyat supaya mengemaskini dan membuat pendaftaran baharu bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebelum 31 Mac ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerja dapat mengemukakan permohonan selain membolehkan penerima sedia ada mengemaskini sebarang perubahan maklumat masing-masing.
"Kenapa kita minta kemaskini itu antaranya ialah kerana tiga tahun data yang telah dikutip sebelum ini tidak dikemaskini.
"Ada yang dahulu bujang sekarang sudah berkahwin. Bujang bantuannya kalau dia pendapatan RM2,500 dan ke bawah dapat RM350 tetapi kalau mereka sudah berkahwin maka ada beberapa kategori," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad berkata, menerusi STR, isi rumah mempunyai pendapatan kurang Rm2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan / FOTO BERNAMA)
Berita berkaitan:
STR Fasa 2 diberi awal April
Katanya, jumlah itu paling besar berbanding bantuan kewangan sebelum ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembayaran STR Fasa 2 diagihkan awal April iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, bayaran STR Fasa 3 akan diagihkan pada Julai manakala, Fasa 4 pada November depan.
Pembayaran STR bagi Fasa 1 telah pun selesai diagihkan pada 17 Januari lepas dengan 8.7 juta penerima melibatkan bayaran RM1.67 bilion.