fb fb fb fb fb

RM11.37 juta untuk baik pulih Jalan Bandar Baharu - Kuala Ketil

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM11.37 juta bagi membaik pulih laluan persekutuan FT136 yang menghubungkan Bandar Baharu ke Kuala Ketil.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan keperluan penyelenggaraan jalan tersebut adalah sebanyak RM33.68 juta, bawah Program Penyelenggaraan Berkala Pavemen.

"Baki permohonan yang belum dilaksanakan akan dimohon sebagai keutamaan pada tahun 2025, tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Permohonan ini akan dibuat berdasarkan penilaian tahap kritikal kerosakan jalan bagi keseluruhan jaringan Jalan Persekutuan yang berada di bawah seliaan kementerian," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim, di Parlimen hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelulusan peruntukan ini melibatkan kerja-kerja penurapan semula jalan sepanjang 81.44 kilometer, yang dijadualkan siap sepenuhnya pada akhir November ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD