
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat mencatatkan penurunan ketara sepanjang tahun lalu.
- Jumlah kemalangan maut kenderaan berat menurun kepada 163 kes pada 2025.
- Data termasuk lori, treler dan kenderaan barangan berat walau bukan punca utama.
- Penurunan disifatkan hasil penguatkuasaan lebih ketat dan pematuhan keselamatan muatan.
- JPJ ambil tindakan terhadap 3,604 kenderaan berat kerana muatan melebihi had.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 232 kes direkodkan pada 2023 dan meningkat kepada 260 kes pada 2024.
Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan besar kepada 163 kes pada 2025.
“Statistik ini merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat, tanpa mengambil kira sama ada kenderaan tersebut menjadi punca utama atau sekadar terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penurunan jumlah kemalangan maut itu memberi gambaran awal bahawa langkah penguatkuasaan yang diperkukuh, khususnya berkaitan pematuhan aspek keselamatan dan muatan kenderaan berat, mula menunjukkan kesan positif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan terhadap 3,604 kenderaan berat kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan sepanjang tempoh 14 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu.