fb fb fb fb fb

Kem Tentera Darat bakal dibina di Felda Sahabat, Lahad Datu - Mohamad Hasan

(FOTO BERNAMA)

SANDAKAN, 10 Februari - Sebuah kem Tentera Darat Malaysia (TDM) akan dibina di Felda Sahabat, Lahad Datu dengan kos RM646.15 juta dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata inisiatif itu bertujuan memindahkan satu batalion infantri dan unit Briged Ke-13 Infantri sebagai usaha meningkatkan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan TDM menangani ancaman semasa sekali gus mengukuhkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua, kanan) diberikan taklimat mengenai
Ops Daulat oleh Timbalan Komander Esscom Brigadier Jeneral Johari Ismail (kiri)
ketika mengadakan lawatan kerja di Pos Kampung Tanduo / FOTO BERNAMA)

"Rancangan kita untuk membina satu lagi briged di medan timur dan kita akan membina satu lagi kem baharu. Sekarang ada dua briged, dengan tiga briged lengkap untuk satu divisyen beroperasi," katanya kepada pemberita selepas mengakhiri lawatan ke pantai timur Sabah, di sini.

Tambah Mohamad, usaha berterusan bagi membina kesepakatan dalaman, peningkatan kesiagaan serta pengukuhan kerjasama pertahanan antara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk tempatan dilakukan secara menyeluruh serta mampan.

Menurutnya, keberadaan pos dan kawalan tentera serta kem tentera baharu yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan di kawasan tersebut dilihat dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada ATM serta negara.

Mohamad turut meninjau Pos Kampung Tanduo, yang diwujudkan susulan insiden pencerobohan pengganas 10 tahun lepas bagi memastikan usaha kerajaan memantau anasir jahat khususnya insiden Tanduo tidak berulang.

"Melihatkan kepada kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Pos Kampung Tanduo ini, konsep pertahanan komprehensif yang melibatkan penyertaan kerajaan dan masyarakat dapat direalisasikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata TDM akan menghantar sepasukan 60 anggota ke Turkiye dalam beberapa hari lagi atas permintaan kerajaan negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan gempa bumi yang melanda empat hari lepas.

Media Baharu