(Program Jelajah Ramadan RTM 2023 Siri III Jabatan Penyiaran Kelantan di Masjid Mukim Mentuan, Kota Bharu)
KOTA BHARU, 4 April- Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan berhasrat memperluaskan program Jelajah Ramadan dengan menyantuni masyarakat di pedalaman dan Orang Asli pada masa akan datang.
Pengarahnya, Wan Azhan Wan Hamat berkata, program berkenaan merupakan antara platform terbaik bagi stesen radio KELANTANfm untuk mendekati penduduk di Kelantan khususnya bagi golongan yang kurang bernasib baik.
“Program Jelajah Ramadan ini menjadi platform terbaik untuk kita menyantuni masyarakat kerana kita datang dengan pakej berbuka puasa sekali jadi ia memberikan satu suasana yang terbaik suasana yang lebih kekitaan bila kita dapat duduk bersama bersembang.
"Paling penting bagaimana kita nak merealisasikan hasrat sebenar kita untuk merakyatkan KELANTANfm ini sendiri bersesuaian konsep Malaysia Madani,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Jelajah Ramadan RTM 2023 Siri III Jabatan Penyiaran Kelantan di Masjid Mukim Mentuan, Kota Bharu.
Pada program itu, KELANTANfm turut mengagihkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan kepada 15 individu termasuk golongan ibu tunggal dan asnaf.
Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tiga siri Jelajah Ramadan, pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif daripada masyarakat setempat dan mengalu-alukan program itu diteruskan pada masa hadapan.
Sementara itu, bagi ibu tunggal, Asma Abdullah, sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat membantu dalam membeli barang keperluan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Terima kasih banyak-banyak saya sangat gembira dapat sumbangan ini. Terima kasih juga untuk RTM, Adabi dan Telekom sebab saya ni ibu tunggal tidak bekerja jadi sikit sebanyak dapat membantu saya pada bulan puasa ini untuk beli baju raya anak-anak,"kata Asma.
(Pengarah Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat )
(Sumbangan kepada asnaf fan ibu tunggal berbentuk wang tunai dan barangan keperluan)