fb fb fb fb fb

Kelantan cadang KTMB teruskan khidmat tren khas musim raya

(Orang ramai di Stesen KTM Wakaf Bharu ntuk menaiki Tren Ekspres Keluarga Malaysia (EKM) yang disediakan
khas buat perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota malam tadi)

TUMPAT, 8 Mei- Kerajaan Kelantan mencadangkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meneruskan perkhidmatan tren ekspres khas sempena perayaan bagi mengurangkan kesesakan trafik di negeri itu apabila perantau pulang ke kampung halaman.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata inisiatif itu dapat memenuhi permintaan perantau yang mencari kaedah alternatif untuk pulang ke kampung ketika cuti sambutan perayaan di negara ini.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut wajar diteruskan pada musim perayaan lain, malah boleh diteruskan sepanjang masa.

"Kita sedia maklum bahawa aliran trafik di Pantai Timur sentiasa sesak lebih-lebih lagi di musim perayaan dan dengan tren khas ini, perjalanan pulang ke Kuala Lumpur menjadi lebih baik.

"Ini sabagai satu percubaan nampaknya bagus sambutan dan kita minta supaya diadakan mungkin seminggu sekali sekurang-kurangnya atau sebulan sekali ataupun untuk musim perayaan lain juga, maklum orang Kelantan gemar dan kerao balik kampung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia Aidilfitri di Stesen KTM Wakaf Bharu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, di sini malam tadi.

EKM yang disediakan khas buat perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota yang bertolak pada jam 10.50 malam tadi menerima sambutan menggalakkan daripada penumpang.

Daripada 696 tempat duduk yang disediakan, sebanyak 803 tiket terjual untuk laluan Tumpat ke KL Sentral memandangkan ada penumpang yang turun naik di sepanjang 17 stesen sepanjang perjalanan.

Mohd Zain berkata, tren yang hanya dilancarkan malam tadi itu adalah sebagai inisiatif mengelakkan kesesakan jalan raya bagi perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota.


(Datuk Ahmad Yakob semasa pelepasan Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia Aidilfitri
di Stesen KTM Wakaf Bharu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, di sini malam tadi)

"Tren yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 10.50 malam tadi dijangka tiba di KL Sentral pada jam 3.04 petang ini.

"Sejak dibuka jualan tiket pada 15 April lalu, dalam masa tiga jam ia sudah terjual kira-kira 70 peratus dan ini menunjukkan orang ramai sangat berminat untuk menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai alternatif selain menikmati pengalaman menarik sepanjang perjalanan.

"Harga tambang yang berpatutan iaitu antara RM55 hingga RM83 menjadikan tren khas ini pilihan orang ramai dan mendapat sambutan berikutan dilengkapi kemudahan seperti koc tempat tidur, tandas dan kafe untuk keselesaan penumpang," katanya

Beliau berkata, sambutan menggalakkan itu boleh dijadikan penanda aras untuk meneruskan inisiatif itu di masa akan datang.

 

Media Baharu