fb fb fb fb fb

"Kekal bersama KPT atau tidak, keputusan prerogatif PM" - Zambry

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Disember - Keputusan sama ada kekal bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atau sebaliknya adalah keputusan prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Datuk Seri Dr Zambry, rombakan Kabinet berkemungkinan dibuat Perdana Menteri untuk mengisi kekosongan di pelbagai kementerian tetapi beliau dipertanggungjawabkan untuk meneruskan tugasan seperti biasa.

"Itu (rombakan Kabinet) kita serahkan kepada budi bicara dan prerogatif Perdana Menteri untuk beliau membina pasukannya kerana beliau memerlukan sebuah pasukan yang mantap bagi memastikan agenda Malaysia MADANI itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi saya nak beritahu di sini, memang tak ada sebarang petunjuk pun, jadi jangan risau.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan tanggungjawab untuk saya meneruskan tugas di peringkat kementerian dengan menyambung khidmat sebagai Senator," katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi Media KPT di sini.

Pada majlis tersebut, beliau turut membentangkan kad laporan KPT secara ringkas pada tahun ini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Zambry bersama dua lagi menteri Kabinet iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai Senator di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan semula ketiga-tiga menteri itu mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap kepakaran dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada dasar serta pembangunan negara.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah bagi penggal pertama pada Disember 2022.

ARTIKEL BERITA: 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM