KUALA LUMPUR, 6 Disember - Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) ketujuh terus menjadi platform penting dalam mengiktiraf kecemerlangan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Pengerusi Sekretariat LICTA ketujuh, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata tema “ketabahan, kebangkitan dan kejayaan” mencerminkan semangat daya tahan serta kejayaan usahawan yang terus bangkit menghadapi cabaran.
“Para penerima anugerah merupakan antara penggerak utama yang akan terus menyokong pembangunan negara menerusi inovasi, kepimpinan dan ketahanan organisasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah LICTA ketujuh di sini.
Tahun ini, dua anugerah pengiktirafan baharu turut diperkenalkan iaitu Anugerah Potensi Cemerlang yang diberikan kepada usahawan berasas kukuh dan berpotensi besar sebagai pemimpin masa depan, serta Anugerah Kepimpinan Eksekutif Perintis bagi mengiktiraf kepimpinan eksekutif berwawasan dengan impak transformasi yang signifikan.
Pengiktirafan turut diberikan kepada agensi kerajaan antaranya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), TalentCorp, HRD Corp dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerusi Anugerah Sahabat Penggalak Usahawan, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dianugerahkan Anugerah Sumbangan Khas atas jasa dalam keselamatan awam.